Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi, kebanyakan maklumat dikongsi melalui Internet dalam bentuk digital. Penghantaran suatu dokumen tidak lagi bergantung kepada perkhidmatan pos tetapi lebih kepada penggunaan rangkaian komputer, contohnya melalui e-mel atau media sosial. Pernahkah anda terfikir bagaimana sesuatu mesej atau data yang dihantar secara elektronik diterima oleh penerima tanpa dicuri, diubah atau ditokok tambah oleh pihak lain?
Objektif pembelajaran 1.1: Menerangkan maksud dan kepentingan kriptografi dalam pengkomputeran.
Kriptografi dalam Perkomputeran
Kriptografi (cryptography) berasal daripada bahasa Yunani yang terdiri daripada dua suku kata, iaitu “kriptos” dan “graphein”. “Kriptos” bermaksud sembunyi manakala “graphein” bermaksud tulis.
Oleh itu, kriptografi boleh dihuraikan sebagai kajian tentang teknik kerahsiaan atau dikenali sebagai keselamatan komunikasi data. Tujuan utama kriptografi dicipta adalah untuk melindungi informasi daripada terdedah dan dipintas oleh pihak lain.
Pada zaman moden hari ini, kita sangat bergantung kepada sistem pengkomputeran digital. Situasi ini telah menyebabkan kebanyakan maklumat penting atau sulit individu, masyarakat dan negara disimpan dalam bentuk digital yang boleh diakses melalui laman sesawang. Cara penyimpanan dalam bentuk digital ini telah membuka ruang untuk pencerobohan maklumat berlaku.
Bagi mengatasi masalah pencerobohan maklumat, kriptografi telah menjadi satu keperluan besar untuk melindungi kepentingan maklumat dalam pengkomputeran. Rajah dibawah menunjukkan empat kepentingan perkhidmatan keselamatan data kriptografi.

Kerahsiaan merujuk kepada kesulitan sesuatu maklumat yang dihantar melalui rangkaian komputer yang perlu dilindungi supaya maklumat tersebut tidak diketahui oleh pihak lain selain penerima. Pengesahan pula berkaitan dengan pengenalpastian pihak-pihak yang terlibat dalam suatu komunikasi. Maklumat atau data yang diterima perlu dikenal pasti agar maklumat dihantar oleh pihak yang disahkan. Contohnya, nama pengguna dan kata laluan bagi perbankan Internet hanya boleh diakses oleh pengguna yang sah sahaja. Integriti ialah perkhidmatan keselamatan yang mengenal pasti sebarang perubahan terhadap maklumat atau data oleh pihak lain. Contohnya, transaksi perbankan dalam talian menggunakan kriptografi bagi mengelakkan pihak lain melakukan perubahan sebarang maklumat dalam transaksi seperti jumlah wang, nombor akaun dan sebagainya. Tiada sangkalan digunakan untuk membuktikan bahawa penghantar dan penerima maklumat tidak menafikan bahawa mereka menghantar dan menerima maklumat tersebut. Oleh itu, penggunaan kriptografi penting untuk menjaga kerahsiaan maklumat serta mengelakkan sebarang penyamaran atau penipuan berlaku.